14 FEB : Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini sudah dirancang lebih awal sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun lawatan itu berlangsung dalam suasana geopolitik dan geoekonomi serantau yang mencabar, namun ia sudah dirancang lebih awal.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan perkara itu dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
“Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa meskipun lawatan ini berlangsung dalam suasana geopolitik dan geo-ekonomi serantau yang mencabar, ia telah dirancang lebih awal sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua dua negara ini,
“Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa Malaysia adalah negara perdagangan yang mengamalkan keterbukaan dan menjalin hubungan seimbang dengan semua rakan antarabangsa,” kata Tunku Nashrul.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 perlu memikul tanggungjawab yang penting untuk terus mempromosikan keterangkuman dan keamanan serantau.
Menurutnya, lawatan bermula esok selama tiga hari itu merupakan lawatan kedua pemimpin republik tersebut ke negara ini selepas lawatan pertamanya pada 2013.
Lawatan Xi kali ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sempena lawatan itu, Jinping akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Sultan Ibrahim turut berkenan meraikan Jinping dan delegasi dalam satu majlis santapan negara.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, 17 laluan sekitar Lembah Klang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sepanjang lawatan itu atas faktor keselamatan dan kelancaran.
“Perdana Menteri menyarankan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesulitan dan memastikan urusan berjalan lancar.
“Anwar turut meminta semua pengendali perkhidmatan pengangkutan awam untuk memastikan ketersediaan aset bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang lawatan ini berlangsung,” katanya.