PRK: Tidak boleh guna jentera, peruntukan kerajaan

14 APR : Parti kerajaan diingatkan bahawa penggunaan sebarang jentera dan peruntukan kerajaan untuk berkempen pada pilihan raya tidak dibenarkan sama sekali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata larangan itu terpakai selepas penamaan calon yang berlangsung.
Tiada masalah untuk mana-mana pengumuman projek pembangunan di kawasan pulihan raya sebelum penamaan calon.
“Itu sebelum. Kalau selepas (penamaan calon) kita kena beri amaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan bersama Kementerian Kewangan (MOF), hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming melibatkan peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah, termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pilihan Raya Kecik (PRK) DUN Ayer Kuning dijadualkan berlangsung pada 26 April ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula Sabtu lalu.
PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Terdahulu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempertikai pengumuman Kor Ming yang mendakwa ia sebagai satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan.
*Foto : Faacebook Anwar Ibrahim