Projek Grid Kuasa ASEAN kukuh kerjasama rantau

14 FEB : Projek mega, Grid Kuasa ASEAN (APG) mampu menjadi medan memperkukuh kerjasama di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata melalui projek ini, Malaysia bakal mempunyai rangkaian tenaga yang merangkumi hampir seluruh ASEAN jika sambungan yang sedang dirunding dapat direalisasikan.
Katanya, APG akan bermula dengan projek kabel dasar laut menghubungkan Vietnam ke Kota Bharu, Kelantan sebelum disambung ke grid Semenanjung dan ke Singapura.
“Kita juga sedang berunding untuk sambungan dari Semenanjung ke Batam serta dari Sarawak ke Tanjung Sedeli dan Singapura. Dari Sarawak ke Sabah dan ke selatan Filipina.
“Jika ini direalisasikan, kita akan miliki rangkaian tenaga yang merangkumi hampir seluruh ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Projek bernilai puluhan bilion dolar itu merupakan antara usaha mega rantau ini yang sejajar dengan dasar peralihan tenaga bersih selain mampu menjadi pemangkin utama pelaburan asing ke rantau ini.
“Inisiatif ini bukan sekadar infrastruktur tenaga, tetapi lambang kekuatan kerjasama ASEAN yang mampu menarik minat pelabur global,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jurang digital antara negara anggota juga perlu dikurangkan.
Ini termasuk kesalinghubungan sistem pembayaran rentas sempadan dan meningkatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), katanya.
“Usaha sedang digerakkan melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pastikan akses teknologi digital dan AI sampai ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Menurutnya, pembangunan ASEAN tidak boleh hanya tertumpu kepada negara-negara maju sahajam sebaliknya ia perlu bersifat inklusif dan seimbang.
“Laos, Kemboja dan kawasan lain masih ketinggalan. Kalau kita tak bantu angkat mereka, akhirnya ia jadi beban kepada jiran. Kita mesti bangunkan ASEAN sebagai satu entiti bersama,” katanya.
Menyentuh soal sempadan, Anwar membangkitkan keperluan pembaharuan sistem kastam dan logistik dalam memudah perdagangan rentas sempadan antara negara jiran, Indonesia, Thailand dan Filipina.
“Isunya bukan sekadar penyeludupan tetapi soal bagaimana kita boleh permudah urusan rentas sempadan agar perdagangan intra-ASEAN lebih cekap dan sah,” katanya.
Selain itu, Anwar menyarankan pihak berkaitan memajukan sektor pelancongan secara kolektif dan memanfaatkan kekuatan unik setiap negara anggota.
“Kita ada pantai, gunung, hutan, makanan termasuk durian. Semua ini boleh dijadikan tarikan pelancongan bersama jika ada kerjasama lebih tersusun,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim