14 APR : Berita kematian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebentar tadi menyentak jiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menyifatkan sosok seorang Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah sebagai insan berjiwa besar yang menjadi jambatan antara kemajuan, pembangunan dengan nilai.
“Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa iaitu sahabat saya yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah kembali menemui Illahi.
“Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.
“Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai,” katanya melalui satu catatan di Facebook, sebentar tadi.
Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur jam 7.10 malam tadi.
Anwar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Perdana Menteri kelima itu atas kehilangan tersebut.
“Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.
“Selamat jalan, Pak Lah. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” katanya.
Beliau turut mengimbau kenangan saat menziarahi Allahyarham sebelum ini.
“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.
“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam,” katanya.
Menurut Anwar, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan ketika langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan.
“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.
“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” katanya.
Tambahnya, di bawah kepimpinan Pak Lah, Malaysia menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran dan pemerkasaan institusi.
“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.
“Namun lebih dari segala pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.
“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi,” katanya.