14 APR : Kesemua syarikt telekomunikasi (telco) diarah meningkatkan kualiti liputan di 27 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata ia susulan teguran dibuat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
“MCMC mengambil tindakan segera susulan teguran Menteri Komunikasi mengenai masalah liputan Internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan DUN Ayer Kuning.
Sehubungan itu, beberaa langkah proaktif sudah diambil oleh penyedia perkhidmatakan telekomunikasi seperti diarahkan oleh MCMC bagi memsatikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, beberapa lokasi sudah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 pusat mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, pusat media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPS Sri Bido.
Katanya, setakat 6 petang semalam, kesemua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL sudah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.
“Antara inisiatif penambahbaikan yang sudah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan,” kata MCMC.
Selain itu, MCMC juga membuka kaunter aduan di PPD Batang Padang, Tapah mulai 12 April lalu hingga 26 April ini bagi mendekati masyarakat setempat.
Kata MCMC, kaunter tersebut beroperasi setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos dan isu lain di bawah bidang kuasanya.
Dalam pada itu, MCMC berkata pihaknya akan terus memantau pretasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.
“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK