15 APR : Dialog terbuka antara kaum perlu diadakan secara berterusan dalam usaha memupuk persefahaman dan rasa saling menghormati di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha itu tidak wajar dianggap sebagai gimik politik oleh mana-mana pihak.
“Ini bukan gimik politik tapi percayalah cakap saya, kita mesti lakukan perkara yang betul sebab semua kaum mahukan keadilan.
“Penting bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia untuk membina survival dan keselamatannya, menolak politik yang sering memainkan isu agama dan kaum. Belajar daripada apa yang berlaku di Eropah.
“Ini adalah cabaran semua. Cabaran kepada guru dan pensyarah. Universiti harus mempromosikan apa yang betul dan apa yang dapat menjamin keamanan untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban (ICONCIDI’25) anjuran Universiti Malaya (UM), hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata tahap kefahaman antara kaum di negara ini masih rendah dan ia wajar ditingkatkan.
“Kita hidup di Malaysia dalam pelbagai kaum. Walaupun Islam agama Persekutuan, berapa ramai orang Islam faham agama Persekutuan.
“Kita puasa, ada masjid tapi hampir tak tahu Islam, sejarah dan peradabannya.
“Apa yang kita tahu sekadar mendapat asakan daripada media, apa lagi media dikuasai barat yang ada sejarah tersendiri.
“Penyanggahan paling keras terhadap pemikiran dominan yang anggap barat ‘superior’ tak salah, tapi menghina orang lain, Islam, negara Arab, China dan India, meremeh dan merendahkan (itu salah),” katanya.
