15 APR : Polis merakam percakapan calon Perikatan Nasional (PN) bagiPilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.
Ia berkait isu tauliah mengajar agama yang dilaporkan sebelum ini.
Namun jurucakap Polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning, SAC Zaharudin Rasip berkata tiada kertas siasatan dibuka dan menyerahkan kes itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk tindakan lanjut.
“Pihak kami tidak ada buka kertas siasatan kerana ini melibatkan tauliah dan dia sebagai calon tidak tergugat setakat ini kerana itu bukan syarat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian PRK DUN Ayer Kuning, hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir membuat laporan polis dan mendakwa terdapat unsur penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama Abd Muhaimin.
Menurut Ahmad Munzirie, Abd Muhaimin mendapat tauliah mengajar agama meskid memegang jawatan dalam parti politik yang bercanggah dengan garis panduan.
Abd Muhaimin merupakan Naib Yang Dipertua PAS Tapah pada 2015 hingga 2017 dan kini memegang jawatan Yang Dipertua PAS Tapah.
Dalam perkembangan pilihan raya, Zaharudin memaklumkan polis menerima dua lagi semalam berkait isu pemasangan bahan kempen dan penggunaan gambar individu tanpa kebenaran.
*Foto : Facebook Hamzah Zainudin