15 APR : Kenaikan tarif import yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menimbulkan kebimbangan semua pihak kerana dikhuatiri bakal menggugat kestabilan perdagangan antarabangsa.
Sehubungan itu, peranan kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam menyelaraskan tindak balas rantau ini terhadap langkah tarif terbaharu AS amat diperlukan memandangkan rantau Asia antara yang paling terkesan akibat dasar-dasar tersebut.
Ketua Kluster Keterjaminan Makanan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Syed Zikri Shahabudin berkata ASEAN mampu menghadapi ancaman kenaikan tarif ini sekiranya negara-negara di rantau ini bersatu-padu sebagai blok perdagangan kelima terbesar dunia.

“Bagi melindungi kepentingan negara serta rantau, negara anggota ASEAN perlu mengukuhkan daya tahan, meningkatkan kerjasama dan memajukan lagi integrasi ekonomi serantau.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu memastikan negara-negara di rantau ini digembleng dalam menjalankan rundingan dengan AS…ASEAN mempunyai kekuatan sendiri yang boleh dimanfaatkan. Dengan kebersamaan ini rantau Asia mampu mengurangkan kesan langsung akibat kenaikan tarif ini,” katanya kepada BBCPORTAL.
Dalam pada itu, Syed Zikri berkata tindakan pantas kerajaan dengan menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) dan pasukan petugas ditubuhkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuktikan Malaysia sudah bersedia dalam menghadapi ancaman tarif timbal balik yang dikenakan AS.
Selain itu, katanya kejayaan Malaysia mempelbagaikan destinasi eksport negara beberapa tahun kebelakangan ini antara langkah proaktif dalam menghadapi kesan daripada kenaikan tarif tersebut.
“Kenaikan tarif ini sudah dijangka apabila Trump menjadi Presiden AS, cuma jumlah kenaikan kali ini mengejutkan kita…kerajaan sudah bersedia dengan memulakan langkah-langkah dan pelan pelaksanaan untuk mengurangkan ancaman ini.
“AS adalah pasaran eksport besar bagi kita iaitu sebanyak 16 peratus manakala negara lain sebanyak 84 peratus…jumlah ini membuktikan membuktikan kejayaan Malaysia mempelbagai destinasi eksport negara dan usaha ini konsisten sejak dahulu lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Zikri berkata tarif AS yang mendatangkan kesan negatif kepada pasaran dunia itu berkemungkinan akan menjejaskan pasaran domestik Malaysia, di mana negara-negara yang menghasilkan produk berkos rendah seperti China dan Vietnam akan mengalihkan produk dan perkhidmatan mereka ke negara ini.
“Pengunaan domestik Malaysia agak besar iaitu 60 peratus…apabila negara-negara lain mengalihkan produk dan perkhidmatan mereka ke negara ini,lambakan akan berlaku dan ia akan memberi kesan kepada keluaran domestik.
“Namun dari sisi lain, jika dilihat kepada perbandingan tarif, Malaysia mampu mengatasi negara-negara lain yang memiliki tarif lebih tinggi…sebagai contoh barangan kita akan menjadi lebih murah dari negara-negara yang dikenakan tarif yang lebih tinggi,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL