15 APR : Malaysia perlu giat mengatur strategi dalam mempelbagaikan pasaran eksport bagi menghadapi kesan kenaikan tarif eksport yang yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.
Penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata ia merupakan langkah persediaan dalam menghadapi ketidaktentuan dasar yang dikhuatiri memberi kesan terhadap ekonomi negara.
“Dasar AS berisiko berubah lagi di bawah kepimpinan Trump…maka Malaysia perlu mempunyai pelan mitigasi dalam mempelbagaikan eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS.

“Sebanyak 11 peratus eksport Malaysia ke negara AS dan 16 peratus ke China…kebergantungan kita kepada dua-dua negara ini sebagai pasaran eksport sangat besar.
“Setakat ini, pengecualian diberikan kepada semikonduktor ke AS sahaja yang merupakan 60 peratus daripada keseluruhan eksport negara,” katanya ketika dihubungi BBCPORTAL.
Terdahulu, Trump mengumumkan tarif 10 peratus terhadap semua import ke negara itu termasuk Malaysia yang dikenakan kadar 24 peratus.
Namun selepas beberapa jam pelaksanaan tarif baharu ke atas import hampir 90 negara, Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari.
Trump juga menurunkan kadar tarif baharu kepada 10 peratus bagi membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.
Dalam pada itu, Aimi berpandangan setiap perniagaan yang terlibat dengan AS perlu mengubah semula strategi perniagaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS ekoran pasaran dari negara itu tidak lagi selamat dan lumayan seperti dahulu.
“Pasaran AS yang dahulunya selamat dan lumayan kini tidak boleh dijadikan tumpuan utama…pastinya negara-negara yang telah dikenakan tarif akan mencari jalan untuk memitigasi risiko yang bakal berlaku dari dasar tidak menentu Trump.
“Pelbagai strategi perlu dilakar dan dilaksanakan untuk mengelakkan perubahan dasar perdagangan global yang lebih menjurus kepada ‘protectionism’ ekonomi domestik, mahupun blok-blok ekonomi yang mengurangkan liberasi perdagangan dijangka akan menjadi trend dekad ini,” katanya.
Sementara itu, Aimi berkata keputusan Trump menangguhkan pelaksanaan tarif baharu itu memberi ruang kepada Malaysia dan negara-negara yang terlibat menyusun semula strategi yang dirangka sebelum mengadakan rundingan bersama AS.
Selain itu katanya, Malaysia juga kini mempunyai masa untuk mengkaji semula serta memperhalusi kajian butiran rundingan tersebut bagi memastikan implikasi yang positif terhadap ekonomi negara.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mempunyai masa untuk membina strategi bersama dengan rakan-rakan dagang dalam ASEAN serta negara-negara yang memperi pengaruh besar kepada ASEAN seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Kesatuan Eropah dalam memastikan perdagangan antarabangsa tidak terjejas teruk daripada perang dagang China dan AS sekiranya berlanjutan.
“Malaysia juga mempunyai masa berkolaborasi bersama syarikat-syarikat multinasional AS yang berpengkalan di sini untuk memastikan negara ini kekal sebagai penyumbang kepada ekonomi AS yang penting,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL