16 APR : Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria digantung enam bulan daripada menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa, hari ini.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan keputuan itu selepas usul itu dibentangkan ADUN Bercham, Ong Boon Piow.
Keputusan tersebut dicapai selepas undi suara majoriti dijalankan dalam dewan tersebut.
Pada 4 Disember lalu, DUN Perak meluluskan usul merujuk Razman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar pada 2 Disember.
Keputusan itu dibuat Mohammad Zahir selepas usul dibawa ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dipersetujui.
Razman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS bagi kawasan Gunung Semanggol didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera Republik China dikibarkan di Teluk Intan.
Kata Jason, pada 2 Disember 2024 semasa Persidangan Kedua, Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Perak ke-15, Razman mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
Sementara Mohammad Zahir berpendapat ada merit kepada usul tersebut dan bersetuju untuk merujuk ADUN Gunung Semanggol ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.