17 APR : Insiden kesilapan Jalur Gemilang disiar akhbar Cina baru-baru ini lebih sesuai disiasat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) berbanding Kementerian Komunikasi susulan fokus siasatan tertumpu pada niat asal penerbitan itu.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata KDN mempunyai peranan penting dalam menjaga keselamatan dalam negara serta mempunyai kuasa mengawal kandungan penerbitan dan siasatan tersebut bukan semata-mata berpunca daripada penyebaran berbentuk digital.
“Walaupun gambar Jalur gemilang tidak lengkap tersebar secara digital, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 lebih sering digunakan untuk kes melibatkan kandungan lucah, hasutan kebencian, penyebaran maklumat palsu yang menggugat ketenteraman awam seperti diperuntukkan dalam Seskyen 233 (Akta 588).
“Namun dalam kes jalur gemilang yang tidak lengkap, isu utamanya adalah penghinaan kepada simbol utama negara…ia lebih sesuai di bawah akta yang berkaitan dengan keselamatan dan maruah negara seperti Akta Hasutan 1948 atau Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301),” katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, tular paparan muka hadapan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 15 April yang menunjukkan Jalur Gemilang tidak lengkap iaitu tanpa bulan sabit disiar bersebelahan bendera China.
Akhbar itu kemudiannya membuat permohonan maaf atas kesilapan tersebut sambil menjelaskan ia kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
KDN memulakan siasatan serta merta mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa kesilapan akhbar itu boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Keesokannya pula (16 April), akhbar Kwong Wah Yit Poh turut menerbitkan Jalur Gemilang tidak lengkap sama pada muka hadapannya.
Ilustrasi Jalur Gemilang yang digunakan tiada bulan sabit manakala bintang hanya memiliki 13 bucu dan bukannya 14 bucu seperti yang sepatutnya.
Bulan sabit dalam Jalur Gemilang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata pilihan akta juga bergantung kepada niat sesuatu kesalahan tersebut.
Jelas beliau, pihak berkuasa lebih cenderung menggunakan undang-undang yang memperuntukkan tindakan terhadap perbuatan yang dianggap menghina atau tidak menghormati lambang negara apabila ia melibatkan simbol kenegaraan.
“Jika kita lihat untuk Akta Mesin Cetak 1984, KDN merupakan badan yang mengeluarkan lesen penerbitan dan boleh menarik atau membatalkannya jika terdapat pelanggaran serta KDN juga terlibat dalam siasatan kandungan digital yang menyetuh sensitiviti agama kaum atau keselamatan negara.
“Sekiranya penyebaran tersebut hanya melaporkan bahan yang sudah wujud dalam bentuk fizikal, contohnya pada kain rentang atau bahan cetak, ia lebih sesuai disiasat di bawah peruntukan lain seperti Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963,” katanya.
Malam tadi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sudah memanggil wakil Kwong Wah Yit Poh susulan insiden itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

*OLEH : AISYAH BADRUL