17 APR : Malaysia dan Thailand menyatakan komitmen menangani isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) secara kolektif di peringkat ASEAN.
Komitmen itu disahkan kedua-dua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Paetongtarn Shinawatra dalam pertemuan di Government House, Bangkok, hari ini.
Menurut Anwar, perkara itu dibincangkan delegasi Malaysia dan Thailand dalam mesyuarat dua hala.
“Kami juga membincangkan isu tarif AS dan komited untuk menanganinya secara kolektif di peringkat ASEAN melalui rangka kerja rundingan yang adil dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut melahirkan penghargaan terhadap Paetongtarn atas komitmen Perdana Menteri Thailand itu untuk mengukuhkan hubungan dua hala.
“Saya menghargai kesediaan kerajaan Thailand untuk terus memajukan perjanjian sedia ada, khususnya yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi bahagian utara Malaysia dan bahagian selatan Thailand.
“Dengan Thailand kini merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan melebihi AS$25 bilion pada tahun lepas, inisiatif ini akan membantu kita mencapai sasaran AS$30 bilion menjelang 2027,” katanya.
Pada sidang media selepas pertemuan itu, Paetongtarn memaklumkan topik utama yang dibincangkan dengan Anwar melibatkan projek Jambatan Sungai Golok, keamanan di selatan Thailand dan tarif AS.
“Bagi keamanan di selatan Thailand, kami meminta kerjasama Malaysia, dengan tumpuan utama kepada pembangunan ekonomi. Ini termasuk inisiatif seperti pengeluaran makanan halal dan projek Rubber City,” katanya.
Dalam pada itu, Paetongtarn memaklumkan turut dibincangkan cara negara anggota ASEAN untuk bertindak balas secara kolektif terhadap tarif AS.
“ASEAN mempunyai populasi besar dan potensi yang besar jika kita bertindak secara bersama.
“Kami juga meneroka strategi berbeza yang diambil oleh setiap negara dan bersetuju bahawa setiap negara akan meneruskan dengan pendekatan masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Malaysia dan Thailand memeterai Perjanjian Pembinaan (CA) Jambatan Kedua Rantau Panjang-Su-Ngai Kolok melibatkan projek bernilai RM40.54 juta yang dibiayai kedua-dua kerajaan.
Pembinaan jambatan baharu sepanjang 117.3 meter itu sejajar dengan jambatan sedia ada dan disasarkan siap tahun 2028.
