17 APR : Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan kembali dibuka kepada orang awam sebaik selepas kerja penyelenggaran selesai.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata hasil pemantauan di Menara KL mendapati keadaan di menara berputar itu masih tidak selamat untuk dikunjungi.
“Hasil lawatan pasukan kementerian ke Menara KL, kita dapati selain berdasarkan gambar dan video hasil pengamatan pasukan, banyak daripada sama ada perkakas di dapur dan di menara berputar, yang ada restoran dulu, tidak berada dalam keadaan yang nyaman atau selesa untuk pengunjung.
“Malah kita lihat ada ‘railling’ yang berada di ‘deck’ yang sudah diturunkan. Ini saya rasa merisaukan. Jadi, demi keselamatan pengunjung, maka syarikat baharu perlu segera melaksana penyelenggaraan termasuk aspek keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Angkasapuri, hari ini.
Menurut Fahmi, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sudah ke Menara KL tengah malam tadi beserta notis awal penutupan bagi memberi ruang kepada konsesi baharu melaksanakan kerja-kerja yang diperlukan sebelum dibenar untuk dibuka semula.
“Penting untuk kita sebut Menara KL adalah sepenuhnya hal milik kerajaan yang diurus operasinya oleh Kementerian Komunikasi. Sejak 1 April lalu, syarikat lama sudah tamat operasi dan syarikat baharu mulai 1 April.
“Atas sebab yang disebut dalam media, syarikat lama enggan keluar, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sudah meneliti isu ini. Kita sudah melalui proses pihak pesuruhjaya masuk untuk memudahkan pemegang konsesi baharu masuk kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata 193 daripada 205 pekerja daripada syarikat lama diserap masuk ke dalam syarikat baharu berkenaan.
“Mereka sudah tamat perkhidmatan pada 1 Syawal, tapi syarikat baharu sudah ambil (bekerja).
“Berpandukan notis yang dikeluarkan pada 18 Disember lalu, memang Kementerian Komunikasi minta syarikat baharu mengambil semua pekerja kerana ramai pekerja yang ada sudah 12…3 tahun berkhidmat dan bekerja di sana,” katanya.