Perjanjian bina Jambatan Kedua Rantau Panjang-Su-Ngai Kolok dimetrai
17 APR : Malaysia dan Thailand memeterai Perjanjian Pembinaan (CA) Jambatan Kedua Rantau Panjang-Su-Ngai Kolok, hari ini.
Kedua negara turut memetrai perjanjian bagi kerja-kerja naik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan dua kawasan tersebut.
Pemetraian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Government House, Bangkok.
Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mewakili Malaysia sementara Thailand diwakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pengangkutan, Suriya Juangroongruangkit.
Anwar yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Thailand itu menyampaikan penghargaan kepada Paetongtarn atas dedikasi mengukuhkan hubungan antara dua negara melalui projek itu.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Thailand atas dedikasinya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan projek di sempadan.
“Projek-projek ini telah lama wujud, dan di bawah kepimpinan anda, ia dapat direalisasikan,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta berkata projek itu dianggarkan menelan kos RM40.54 juta yang dibiayai kedua-dua kerajaan dan disasarkan siap tahun 2028.
Katanya, pembinaan jambatan baharu sepanjang 117.3 meter itu sejajar dengan jambatan sedia ada.
“Pemeteraian ini menandakan satu lagi langkah penting ke arah pembangunan serantau yang mampan dan pertumbuhan inklusif.
“Ia sejajar dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan visi bersama rantau ini ke arah kemajuan kolektif iaitu memastikan pembangunan sampai ke setiap komuniti dan tiada yang ketinggalan,” kata Nanta dalam satu kenyataan.
Katanya, jambatan Rantau Panjang–Su-Ngai Kolok mula dibina pada 1971 yang menjadi penghubung utama bagi komuniti serta ekonomi antara Malaysia dan Thailand.
