18 APR : ASEAN menolak sebarang bentuk tarif dikenakan secara sepihak yang bertentangan dengan semangat multilateralisme.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan konsesus itu sudah dicapai ASEAN yang memperjuangankan perdagangan bebas.
“Kita telah membentuk konsensus ASEAN. ASEAN menyokong perdagangan bebas dan multilateralisme.
“Jadi, pendirian kami (ASEAN) adalah kami tidak bersetuju dengan sebarang tindakan sepihak atau pengenaan tarif yang bertentangan dengan semangat perjanjian multilateral. Itulah konsensus yang telah dicapai,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Thailand, hari ini.
Menurut Anwar, tarif dikenakan Amerika Syarikat itu turut dibincangkan dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, semalam.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah awal terhadap rundingan yang berjalan berkait tarif dikenakan Donald Trump itu diambil melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN, baru-baru ini.
“Saya amat gembira kerana Perdana Menteri Jepun, Shigeru Shiba dan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon serta ASEAN secara keseluruhannya, merasakan bahawa mereka perlu menggunakan mekanisme (multilateral).
“(Ini) adalah peluang untuk mengadakan dialog dengan AS selain menjalinkan kerjasama sesama negara supaya dapat merangka strategi bersama,” katanya.
Awal bulan ini, pentadbiran Trump mengumumkan tarif minimum sebanyak 10 peratus ke atas import dari semua negara di bawah sistem ‘tarif timbal balik’.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, Thailand 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus, Vietnam 46 peratus dan Myanmar 44 peratus.
Brunei dan Filipina masing-masing dikenakan tarif 24 peratus dan 17 peratus sementara Singapura 10 peratus.
Tarif berkenaan kini digantung selama 90 hari kecuali terhadap China yang berdepan 245 peratus.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim