18 APR : Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual dalam kalangan warganya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata prinsip ‘you touch, you go’ sentiasa dipatuhi berdasarkan garis panduan dan undang-undang.
“Siasatan sedang kita laksanakan tapi seperti biasa saya ulang dengan tegas bahawa kita tidak berkompromi terhadap apa sahaja kesalahan khususnya (kes) seksual, ‘you touch, you go’ macam mana yang saya selalu sebut.
“Kita akan siasat secara menyeluruh dan kita berpegang kepada garis panduan yang sudah pun kita ada dan peraturan-peraturan sedia ada,” katanya selepas Majlis Penyerahan Smartboard di Bayan Lepa, hari ini.
Beliau mengulas kes seorang guru lelaki di Johor yang direman kerana disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita, baru-baru ini.
Menurut Fadlina, pihaknya memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan sebelum bertindak mengikut peraturan kementerian..
“Kita bagi dulu ruang untuk siasatan penuh dilaksanakan (kerana) siasatan masih lagi berlangsung jadi apa sahaja arahan yang terkait rapat dengan garis panduan yang memastikan tindakan atau sebarang perilaku itu akan kita uruskan mengikut peraturan kita,” katanya.
Beliau menekankan bahawa sebarang perilaku tidak wajar dalam kalangan pendidik akan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang.
“Penegasan ini telah pun kita buat berulang kali dan kita akan terus kekalkan ketegasan itu dari semasa ke semasa,” katanya.
Rabu lalu, seorang guru lelaki ditahan reman tujuh hari atas dakwaan tersebut selepas seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di daerah Johor Baharu mendedahkan tingkah laku tidak senonohnya.
Guru wanita itu mendakwa pernah melihat suspek berkelakuan intim dengan beberapa pelajar perempuan serta menerima pautan lucah daripadanya.
Namun, guru lelaki tersebut membela diri dengan membuat hantaran di akaun Facebooknya kononnya tindakan menghantar pautan lucah itu sebagai tidak disengajakan.