19 APR : Malaysia memerlukan satu lonjakan yang luar biasa untuk memastikan negara ini maju sejajar kerangka MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meski lonjakan itu berisiko mengundang ketegangan politik dan sosial namun kita tiada pilihan lain.
Tegasnya, ia perlu dilaksanakan demi masa depan susulan negara tidak boleh lagi dipasak pada isu sama termasuk agama dan perkauman yang terus dimainkan.
“Kalau Malaysia hendak menjadi negara maju dalam kerangka MADANI, mesti ada lonjakan dan ‘quantum league’…tidak boleh dalam kadar perubahan biasa.
“Kalau kita tanya diri kita adakah pilihan, jawapannya tidak…maka pilihannya adalah membujur lalu, melintang patah.
“Naratif perlu berubah kalau tidak balik-balik soal kaum, agama. Saya tidak kata kaum atau agama tidak penting, tetapi naratif itu menyebabkan kita lesu dan tidak ke depan.
“Dalam pilihan raya kecil, kata kita jual negeri kepada China ataupun hal yang sebenarnya melelahkan, sedangkan orang sekarang membicarakan mengenai tenaga dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 5, malam tadi.
Menurut Anwar, termasuk penyasaran subsidi yang dilaksanakan secara berperingkat merupakan antara lonjakan luar biasa dilakukan kerajaan yang memerlukan keberanian dan kebijaksanaan berdepan dengan rakyat.
Jelasnya, dari segi teori, sesuatu pendekatan baharu perlu dibawa dengan semangat perubahan yang harus berlaku dalam kalangan rakyat sendiri.
“Jika negara terus dengan pendekatan subsidi yang popular, ia membebankan kerana tiada negara yang bagi subsidi kepada 3.5 juta rakyat asing serta subsidi elektrik dan minyak kepada orang yang paling kaya di Malaysia.
“Ini harus ada keberanian tetapi kita juga akan berdepan dengan rakyat yang memerlukan kebijaksanaan,” katanya.
