19 APR : Kestabilan negara perlu dipelihara dalam mendepani cabaran semasa dunia untuk memastikan daya tahan dan daya saing negara kekal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan terkini global yang menyaksikan tarif timbal balik dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sepatutnya menjadi peringatan agar negara sentiasa dijaga.
“Donald Trump menetapkan tarif menggemparkan. Kita dikenakan 24 peratus, ada negara 50 peratus Indonesia dan Thailand 30 peratus.
“Jadi apa yang kita lakukan? Ia mengingatkan kita, kita kena siap jaga rumah tangga kita kena betul. Negeri kita, ekonomi kita supaya bila ada malapetaka yang menimpa kita, kita dapat bertahan. Ini yang disebut daya tahan supaya kita ada daya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI Peringkat Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata rakyat perlu bersyukur dengan nikmat yang diperoleh ketika ini bagi menjamin kestabilan.
Ini termasuk kepimpinan negara yang mendengar pandangan dan keluhan rakyat bagi memperbaiki kelemahan dan memperbetulkan tatakelola pentadbiran, katanya.
“Syukur ini penting. Kadang-kadang kita dapat manfaat kita anggap semuanya biasa sahaja…tidak.
“Kadang-kadang kita lupa syukur. Jangan kita kufur menolak nikmat Tuhan. Kalau kita menolak, asyik maki, asyik marah, asyik tak kenang budi…bahaya, takut azab yang pedih akan menimpa kita,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, negeri dalam negara ini juga perlu membuat perancangan pembangunan yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau memuji sumbangan besar Sarawak yang diiktiraf negara lain atas inisiatif-inisiatif ekonomi yang dijalankan di negeri itu.
“Sarawak sekarang memberikan sumbangan yang besar. Di mana-mana negara yang saya pergi, sama ada Eropah, negara China atau Jepun, apa lagi di ASEAN, kita anggap Sarawak ini mempunyai potensi yang besar, sebagai energy hub of the region,” katanya.