19 APR : Polis sudah melengkapkan siasatan berkait penyiaran Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan melibatkan akhbar Sin Chew Daily itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati akhbar itu memberi alasan kesilapan teknikal yang mendorong kepada insiden itu.
“Setakat ini, seramai 54 individu telah dirakam keterangan, terdapat saksi lain mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan.
“Siasatan awal mendapati antara alasan diberikan pihak akhbar berkenaan kerana berlakunya kesilapan teknikal dalam penyiaran ilustrasi tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurut Razarudin, pihaknya menerima 40 laporan berkait insiden itu setakat ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Terdahulu, muka hadapan akhbar Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit yang disiar bersebelahan bendera China hingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang awam.
Sehari kemudian, akhbar Kwong Wah Yit Poh melakukan hal sama pada siaran muka hadapannya.
Razarudin sebelum ini melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua editor itu dikatakan yang meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut ementara timbalan ketua penyunting terbabit merupakan pereka grafik gambar berkenaan.