21 APR : Malaysia komited untuk memperluas kerjasama dengan Indonesia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan komitmen itu pada majlis pertukaran dua Surat Hasrat (LoI) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Pemerintah Wilayah Jakarta dan Sumatera Barat.
Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran Lol antara Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) dengan Gabenor Wilayah Sumatera Barat Mahyeldi Ansharullah.
“Kita mahu berkongsi peluang dan membuka sistem pendidikan teknikal kita kepada lebih ramai pelajar Indonesia,” katanya selepas majlis pertukaran yang diadakan di Jakarta, hari ini.
Beliau mengatakan majlis itu bukan sekadar simbol komitmen dua hala dalam bidang pendidikan tetapi merupakan lonjakan strategik ke arah pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja ke Indonesia berkata pendidikan di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa selain sejajar dengan sistem pendidikan negara Komanwel.
Menurutnya, pengajaran dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu serta bahasa Inggeris ditawarkan di enam universiti bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia yang mengkhusus dalam kejuruteraan dan teknikal.
Katanya, ia menjadi kelebihan kepada pelajar yang mencari pendedahan di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau mahu UniKL sebagai sebuah institusi milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk terus memperluas capaian antarabangsa dengan menerima lebih ramai pelajar dari Indonesia
Katanya, Malaysia merancang untuk menghantar lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Bandung yang berprestij di Indonesia terutama dalam bidang pertanian.
*Foto : Facebook Zahid Hamidi