Rombak Kabinet atau tidak, hanya diketahui lepas pemilihan PKR
21 APR : Sebarang keputusan berkait kemungkinan berlaku rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan hanya akan diketahui selepas Pemilihan PKR Peringkat Pusat 2025, bulan depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan perkara itu pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.
“Itu (rombakan Kabinet) adalah prerogatif Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Mungkin selepas daripada itu (pemilihan PKR), kita akan tahu dengan lebih jelas laluan ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sri Skudai, hari ini.
Beliau mengualas isu rombakan Kabinet susulan keputusan pemilihan cabang PKR yang menyaksikan nama-nama besar tumbang termasuk yang berjawatan menteri Kabinet.
Namun Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menyifatkan kalah menang dan turun naik mana-mana pemimpin di peringkat cabang itu suatu perkara yang biasa.
“Semestinya ramai bertanya, apa seterusnya selepas ini (apabila tewas di Cabang). Jika kita lihat dalam PKR sebelum ini, dia bukan ‘straight forward’ contoh calon bagi Parlimen Wangsa Maju adalah Ketua Cabang Titiwangsa, tidak semestinya perlu jadi ketua cabang di situ, maka dia akan jadi calon pilihan raya.
“Namun untuk jawatan politik, PKR masih belum selesai. Pertamanya, kita masih ada pemilihan di peringkat Pusat dengan PKR tidak melarang mana-mana anggota parti terbabit dalam pemilihan Pusat, walaupun mereka tidak memegang jawatan di peringkat Cabang,” katanya.
Malah Menteri Komunikasi itu memberi contoh di mana ada pemimpin yang tewas atau tidak bertanding peringkat cabang namun masih menang di peringkat pemilihan Pusat.
“Jadi prosesnya (pemilihan) masih berjalan. Pencalonan peringkat Pusat berlangsung 3 Mei dan 4 Mei nanti, manakala pemilihan secara fizikal oleh perwakilan yang datang ke Kongres PKR akan berlangsung 24 Mei nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi mengesahkan penahanan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily baru-baru ini bagi memantu siasatan penyiaran Jalur Gemilang tidak lengkap dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlandaskan undang-undang.
Katanya, siasatan berkait isu itu dijalankan mengikut tiga sudut berbeza melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kesalahan pertama dikesan melalui edisi cetakan Sin Chew Daily, maka siasatan awal dilakukan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang dikuatkuasakan oleh KDN.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta beberapa akta lain yang terletak di bawah bidang kuasa PDRM.
“Justeru, sebarang penahanan bagi membantu siasatan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.
*Foto : Facebook Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia