22 APR : Kerajaan Malaysia dan China melanjutkan program pengecualian visa bagi tempoh 90 hari untuk lima tahun lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Beijing turut bersetuju untuk melaksanakan pengecualian visa tersebut secara timbal balik.
“Ketika kunjungan Presiden Xi Jinping, satu daripada 31 memorandum persefahaman (MoU) yang kita tandatangan adalah berkaitan visa…yang baharu kita lanjutkan untuk lima tahun ke depan dan sejurus tamatnya itu, pilihannya adalah sambung lagi lima tahun.
“Tempoh 90 hari keberadaan rakyat China di negara kita sebagai pelancong dan timbal balas yang sama juga bagi kita (di China),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan melancarkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEAKS), hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata percubaan pengecualian visa yang dilaksanakan pada hujung 2023 memberi impak besar dalam merangsang ekonomi negara dan jumlah pelancong dari China paling tinggi ke Malaysia.
“Dalam tempoh itu, apa yang kita perhatikan, impak kemasukan pelancong daripada China itu meningkat. Dari segi nilai ekonomi, Kementerian Pelancongan ada kayu ukurnya…formula kira-kira. Bagi setiap seorang pelancong dari negara China yang datang belanjakan mencecah RM7,000.
“Jadi bila kita hitung balik dari segi jumlah ketibaan, ternyata ia adalah satu formula yang boleh merangsang sumbangan ekonomi dengan segera dan impaknya besar,” katanya.
Katanya, setakat April ini, angka pelancong dari China hampir mencecah 900,000 dengan lebih 4 juta direkodkan tahun lalu.
Dalam pada itu, mengulas soal pelancaran SPEAKS, Saifuddin berkata ia merupakan mekanisme baharu untuk menyampaikan aduan.
“SPEAKS adalah satu mekanisme baharu di mana semua aduan boleh disampaikan, tidak lagi hanya melalui surat atau secara fizikal.
“Sesiapa yang ingin membuat aduan terhadap pasukan penguatkuasaan polis kini boleh menggunakan medium SPEAKS ini, dengan syarat mereka memberikan butiran lengkap seperti bila, di mana, siapa dan bagaimana,” katanya.
Menurutnya lagi, sistem SPEAKS memudahkan orang ramai membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) supaya tindakan susulan boleh diambil.
“Di bawah Akta IPCC, sekiranya aduan membabitkan elemen rasuah, IPCC akan serahkan kepada SPRM. Jika berkaitan dengan jenayah, ia akan dirujuk kepada pihak polis. Sifat aduan mestilah sejajar dengan bidang kuasa IPCC,” katanya.
*Foto : Facebook Saifuddin Nasution Ismail