Silap siar Jalur Gemilang: Syarikat makanan bayi juga disiasat
22 APR : Sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura yang menyiarkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya, baru-baru ini akan berdepan siasatan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses siasatan yang akan dijalankan terhadap syarikat itu sama seperti dihadapi akhbar Sin Chew Daily.
“Selepas kami mengambil tindakan ke atas Sin Chew, maka orang ramai mengangkat insiden sama.
“Mereka (syarikat makanan bayi) juga akan berdepan proses sama dari KDN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan melancarkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEAKS), hari ini.
Terdahulu, Singapore Lactation Bakes (SLB) membuat permohonan maaf atas kesilapan dalam video pelancaran SLB Malaysia di ibu negara ketika menyertai pameran produk bayi di sebuah pusat beli-belah.
Sebelumnya, akhbar Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit yang disiar bersebelahan bendera China pada muka hadapan hingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang awam.
Sehari kemudian, akhbar Kwong Wah Yit Poh melakukan hal sama pada siaran muka hadapannya.
Mengulas soal perkembangan siasatan terhadap Sin Chew Daily, Saifuddin memaklumkan pihaknya telah mendapat maklum balas daripada syarikat media itu.
“Kita akan meneliti penjelasan itu secara profesional dan membuat keputusan berdasarkan fakta.
“Saya ingin mengingatkan semua bahawa bendera adalah lambang identiti negara…kelalaian, kealpaaan dan kecuaian harus dielakkan. Jika berlaku, kita akan tangani secara bertanggungjawab mengikut undang-undang,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
*Foto : Facebook Saifuddin Nasution Ismail