Masih ahli Pejuang, kemenangan Azizah dalam pemilihan PKR dibatalkan
24 APR : Kemenangan Azizah Salim Shah bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol dibatalkan selepas beliau didapati masih ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ketika memenangi pemilihan itu.
Perkara itu disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang mendapati Azizah melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.
Dijangka pemilihan semula diadakanpada hujung minggu ini selepas pembatalan tersebut.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan Azizah hanya meletakkan jawatan daripada Pejuang selepas memenangi pemilihan tersebut.
“Ini yang saya dapat maklumat semalam. Bagaimanapun, berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam, anggota parti yang menjadi calon pemilihan PKR 2025 dan kemudiannya didapati menjadi ahli parti lain akan digugurkan keanggotaan mereka.
“Jadi MPP memutuskan pemilihan Ketua Cabang PKR Jempol perlu diadakan semula,” katanya.
Beliau mengulas keputusan mesyuarat tergempar MPP PKR dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkait dakwaan berlaku penyelewengan dalam pemilihan.
MPP PKR kemudiannya memutuskan mana-mana anggota parti yang menjadi calon Pemilihan PKR 2025 dan didapati menjadi ahli parti lain akan digugurkan keanggotaan mereka.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata mana-mana ahli yang terlibat akan hilang kelayakan menjadi calon serta merta.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) tidak menafikan kemungkinan ada pemimpin yang mengejar jawatan.
“Ramai yang inginkan jawatan dari mana-mana kalau boleh. Tetapi apabila kita buat siasatan terperinci, memang sah beliau (Azizah) masih anggota Pejuang ketika menang jawatan itu dan terpaksa keluarkan dia demi keselamatan parti,” katanya.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, semua ketua cabang akan dinilai semula dan bertindak jika perkara sama berlaku.
“Semalam kita buat keputusan bahawa tidak boleh ketua cabang yang menang ada jawatan dengan parti lain yang mereka sertai.
“Mereka yang membuat bantahan, kita serahkan kepada JPP untuk membuat keputusan kerana ahli masih boleh memberikan maklumat tambahan apa juga yang mereka kemukakan itu,” katanya.
Pada 13 April lalu, Azizah menang dengan 450 undi, menewaskan pencabarnya, G Manivanan yang mendapat 248 undi, Muhammad Asri Abdullah 83 undi dan K Mariappan 52 undi.
*Foto : Facebook Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun