24 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menerima keputusan hari ini.
Beliau turut menasihatkan mereka yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan kali ini agar tidak berputus asa.
“Tahniah diucapkan kepada semua anak-anak yang menerima keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Teruskan usaha dan tekad kalian untuk menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi. Bagi yang kurang bernasib baik, usah berputus asa,” katanya.
Keputusan SPM hari ini menyaksikan 14,179 calon di seluruh negara memperoleh gred cemerlang (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran.
Angka itu meningkat berbanding 11,713 calon (3.1 peratus) pada tahun 2023 malah secara keseluruhan, Gred Purata Nasional (GPN) juga membaik apabila ia mengecil kepada 4.49 mata berbanding 4.60 mata, sebelumnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata pentadbirannya akan terus membantu rakyat negara ini melalui pendidikan tinggi berkualiti dan laluan alternatif.
“Kerajaan MADANI sentiasa bekerja kuat membantu anak-anak Malaysia melalui sistem Pendidikan Tinggi yang berkualiti selain inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membuka laluan alternatif ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya.