25 APR : Malaysia perlu membina keupayaan domestik bersama blok ASEAN dan negara luar bagi mendepani cabaran global termasuk tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan rakyat juga perlu dibina bagi memastikan kita mampu berdikari.
“Dengan pengumuman tarif oleh Presiden AS, Donald Trump, apakah kita harus mengeluh atau mengambil langkah-langkah sendiri.
“Yang pertama paling penting ialah membina keupayaan domestik kita, membina keyakinan rakyat bahawa kita mampu berdikari, mampu membangun dengan kekuatan kita dengan jaringan yang bertambah di ASEAN, rantau Asia, China, India, Australia, Jepun, Korea serta membuka pasaran-pasaran baru Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penambahbaikan dan Penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, hari ini.
Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu dicapai melalui perbincangan serta rundingan bersama pemimpin-pemimpin ASEAN serta China.
Menurut Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia membincangkan kaedah mengembangkan pasaran dan meningkatkan pelancongan dalaman.
Perbincangan secara dalam talian itu dibuat bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Antara hujah penting dalam ASEAN adalah bagaimana kita boleh tingkatkan pelancongan dalam kalangan intra-ASEAN. Sebab itu kita bersaing dengan kemudahan dan prasarana lebih baik serta tahap kecekapan semua pegawai,” katanya.
Mengulas soal industri pengangkutan, Anwar berkata kos yang besar dibelanjakan untuk membina dan menambah baik lebuh raya, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta lapangan terbang bagi membantu perkembangan pembangunan negara juga pelancongan.
“Sekarang dengan adanya beberapa langkah dan inisiatif swasta ataupun syarikat-syarikat sendiri perundingannya, seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), ia akan mengurangkan tekanan beban kerajaan.
“Ini kerana rangkaian ini dapat diusahakan dengan dana (sendiri) seperti menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, sekali gus memberikan ruang kepada MAHB dan tidak membebankan dana kerajaan,” katanya.
Mengulas soal penambahbaikan dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah itu, Anwar berkata inisiatif MAHB itu mampu meningkatkan keupayaan selain membantu pelbagai sektor termasuk perdagangan, perusahaan dan pelancongan.
“Dulu bila kita nak besarkan lapangan terbang ini, tergendala kerana kita rasa pesawat dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu tidak banyak. Orang kadang-kadang pilih untuk gunakan kenderaan biasa.
“Namun sekarang ini kita fikir lebih luas, (ada penerbangan) dari Senai, Singapura dan mungkin diperluaskan di rantau dan di kawasan-kawasan lain seperti Kota Kinabalu, Kuching umpamanya yang akan berikan tarikan yang tersendiri untuk lapangan terbang,” katanya.
Antara naik taraf yang dijalankan termasuk perluasan terminal, penambahbaikan kawasan daftar masuk dan ketibaan, fasiliti imigresen serta peningkatan infrastruktur keselamatan seperti CCTV dan mesin pengimbas.
