25 APR : Keseimbangan pembangunan fizikal dan aspek keagamaan dalam pentadbiran negara sentiasa diberi perhatian Kerajaan MADANI.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nilai-nilai Islam diterapkan sejak di peringkat awal pendidikan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Katanya, contoh terbaik pendekatan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan duniawi dan ukhrawi melalui program pendidikan Ulul-Albab yang diperkenalkan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Program Tabika Pra-Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
“Kemas seumpamanya terdapat lebih 10,000 kelas Tabika yang telah kita jadikan sebagai Pra-Tahfiz. Lebih daripada 125,000 anak-anak diberikan tumpuan untuk penghafalan 30 juzuk Al-Quran.
“Sebanyak 57 MRSM di seluruh negara pula sudah mempunyai program Ulul-Albab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santuni Kasih Desa MADANI di Kampung Tanjong Keramat, hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebook rasminya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau dapat menyelami dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat di kawasan tersebut ketika turun padang, usai solat Jumaat, hari ini.
“Ketika bertemu dengan masyarakat di sini, saya dapat menyelami dan mendengar denyut nadi mereka disamping berkongsi mengenai hala tuju pembangunan negara termasuk negeri Perak.
“Saya turut menzahirkam kekaguman terhadap prestasi kerajaan negeri (Perak) di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan Exconya yang berjaya meningkatkan hasil negeri daripada RM1.05 bilion pada tahun 2023 kepada RM1.32 bilion tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat negeri Perak khususnya di Kampung Tanjong Keramat, Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning agar terus menyokong kepimpinan kerajaan baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan agar keamanan dan kestabilan dapat dicapai sepenuhnya.
“Saya yakin dengan sokongan rakyat dan kepimpinan yang berwibawa, Perak akan terus maju dan sejahtera. Marilah kita bersama memastikan kestabilan demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
