25 APR : Malaysia kini berada dalam landasan yang tepat memerangi rasuah dan memastikan tadbir urus yang lebih telus serta berintegriti.
Keyakinan itu disuarakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, malam tadi bersandar kepada pelbagai inisiatif yang sudah dilaksana setakat ini.
Ini termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional serta pelancaran Strategi Antirasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diperkenalkan pada tahun lalu.
“Inisiatif yang diperkenalkan akan meningkatkan ketelusan dengan menerapkan prinsip integriti dan akauntabiliti dalam semua sistem dan prosedur yang berkaitan, yang mengawal selia kedua-dua sektor awam dan korporat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Meja Bulat Bersama Ketua Setiausaha Negara Berhubung Agenda Nasional Tadbir Urus Baik, malam tadi, lapor RTM.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata usaha bersepadu perlu ditekankan supaya meneruskan pelaksanaan inisiatif tadbir urus baik sebagai agenda penting dalam mencegah rasuah serta merangsang produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan laporan prestasi suku pertama bagi 27 Ketua Setiausaha (KSU) dijangka akan dibentangkan kepadanya, bulan hadapan.
Jelasnya, laporan prestasi itu merupakan sebahagian usaha bagi menginstitusikan sistem pemantauan perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan berasaskan data.
Laporan itu menandakan satu pencapaian penting dalam pelaksanaan penuh Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP).
“Sebagai pemangkin Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), DEEP berperanan sebagai alat berasaskan data yang berkesan dalam menyokong pencapaian lima bidang hasil reformasi.
“Dengan skop penilaian yang luas merangkumi pengurusan kewangan, integriti, kepimpinan, dan impak program, DEEP menjadi faktor pendorong penting ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berfokuskan hasil,” katanya.
Menurutnya, DEEP memperkenalkan elemen ‘remerit’ yang bukan sahaja mengenakan penalti terhadap prestasi rendah namun juga memberi ganjaran kepada penambahbaikan positif dan pematuhan konsisten terhadap penanda aras tadbir urus.
