26 APR : Hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) akan cuba untuk terus dikekalkan disebalik tekanan yang dikenakan negara itu melalui tarif timbal balik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata setakat ini AS menjadi antara pelabur tertinggi di negara ini.
“Malaysia sentiasa menjadi rakan ekonomi yang baik kepada AS. Itulah sebabnya AS sentiasa menjadi antara pelabur asing tertinggi Malaysia di negara ini.
“Kami menyediakan persekitaran yang membantu syarikat AS berkembang maju di Malaysia. Intel telah berada di Malaysia sejak 1971. (Syarikat lain telah) berada di Malaysia lebih lama, (ada sebahagian) malahan sudahpun berada sejak merdeka,” katanya, lapor Bernama.
Beliau mengulas bentuk hubungan ekonomi AS-Malaysia yang positif di bawah Pentadbiran Presiden, Donald Trump tanpa perang perdagangan global semasa Forum Kepimpinan ASEAN oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang diadakan di Washington.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata satu mekanisme yang menyediakan peluang sama rata kepada Malaysia dan AS perlu diwujudkan.
“Jadi, apa yang kami mahukan adalah, keupayaan untuk kami mengekalkan hubungan ini.
“Wujudkan mekanisme yang menyediakan peluang yang sama rata kepada kedua-dua pihak agar boleh berkembang, boleh bersaing bersama-sama, untuk menyepadukan apa yang mereka ada di Malaysia ke dalam rantaian bekalan global mereka. Itu adalah hasil yang hebat,” katanya.
Beliau juga percaya persefahaman dan pendekatan bersama boleh dilakukan kerana kedua-dua negara sentiasa saling menghormati perkongsian yang sudah terjalin.
Pada masa sama, Amir Hamzah menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada cara untuk mengembangkan kemakmuran ekonomi dan bukannya terlibat dalam perbalahan untuk mengasing-asingkan pasaran.
Menyentuh soal pendekatan Malaysia terhadap tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan AS, Amir Hamzah berkata Malaysia sudah memulakan perbincangan dengan AS.
“Kami telahpun mengadakan perbincangan pertama kami dengan mereka dan ia diterima dengan cukup baik. Seterusnya adalah melaksanakan beberapa lagi langkah selepas ini.
“Untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan, akan mengambil sedikit masa bagi menyelesaikan perkara teknikal, namun ia bermula dengan perbincangan pertama dan prinsip pertama, dan kemudiannya meneruskan dialog untuk merapatkan jurang,” katanya.