28 APR : Malaysia mempelawa perniagaan dari Maldives meneroka sektor halal terutama dalam pelancongan sejajar dengan kedudukan negara ini sebagai hab halal global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata terdapat potensi besar untuk jalinan kerjasama dalam bidang pensijilan halal, eksport barangan, perkhidmatan halal, kewangan Islam, farmaseutikal dan pengeluaran makanan.
Justeru itu, beliau turut menggalakkan perniagaan Malaysia merebut peluang yang ada.
“Memandangkan status Maldives sebagai negara majoriti Muslim dan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal, Pelan Induk Industri Halal 2030 kami yang menetapkan visi jelas, kami yakin Maldives boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikannya di peringkat serantau.
“Kita telah menyaksikan kehadiran positif syarikat Malaysia seperti Secret Recipe, The Manhattan Fish Market dan Ramsay Sime Darby Healthcare di Maldives.
“Justeru, saya menggalakkan lebih banyak perniagaan Malaysia untuk merebut momentum ini dan memanfaatkan persekitaran mesra pelabur di Maldives,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada Forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025, hari ini.
Forum itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu.
Pada forum sama, Tengku Zafrul memaklumkan Maldives disenarai sebagai rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan pada 2024.
“Jumlah perdagangan dua hala kita tahun lepas berjumlah RM862.7 juta, menandakan peningkatan 4.3 peratus daripada tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan yang stabil ini menyokong asas hubungan ekonomi dan peningkatan keyakinan dalam komuniti perniagaan terhadap potensi kerjasama kita,” katanya.
Terdahulu, Anwar dan Muizzu menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dan dua pertukaran nota (EoN) merentas pelbagai sektor.
