29 APR : Kementerian Pendidikan (KPM) tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan buli dan gangguan seksual melibatkan atlet sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata semua pihak perlu peka dan cakna dengan perlindungan yang perlu diberi kepada atlet sekolah selagi mereka di bawah payung KPM.
“Kita tidak kompromi dalam soal buli dan juga gangguan seksual, mahupun yang berlaku dalam sukan (kerana) isu buli bukan sahaja berlaku di sekolah biasa.
“Kita akan sentiasa mengambil maklum dan tegas dengan siasatan (jika ada aduan) dan memastikan hak anak-anak ini dan pengadu diberikan hak sewajarnya berdasarkan siasatan tersebut,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ke-56 2024 di Putrajaya, hari ini.
Pada majlis itu, Fadhlina menyampaikan 13 anugerah dalam majlis itu termasuk Anugerah Tunas Harapan (Putera dan Puteri), Anugerah Guru Berjasa (Lelaki dan Wanita) serta Anugerah Juara Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO untuk memberi penghormatan kepada atlet muda yang bukan sahaja menunjukkan kemahiran luar biasa dalam bidang sukan pilihan mereka, malah dedikasi tinggi terhadap kecemerlangan akademik.
*Foto : Facebook Fadhlina Sidek