29 APR : Pegawai yang terlibat dalam kesilapan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, baru-baru ini sudah dikenal pasti.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Lembaga Disiplin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan sewajarnya.
“Kesemua yang terlibat itu telah pun dikenal pasti yang mana ada dua kumpulan iaitu atas dan di bawah Gred 48.
“Pegawai di bawah Gred 48 akan dikendalikan oleh KPM dan gred atas 48 akan diambil tindakan oleh JPA,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di Putrajaya, hari ini.
Selain itu, menurut Shamsul Azri, KPM juga sudah menghantar laporan insiden tersebut kepada JPA.
Terdahulu, kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang janaan kecerdasan buatan (AI) itu dikesan pada beberapa muka surat dalam laporan berkenaan yang diedar semasa sidang akhbar, Khamis minggu lalu berkait keputusan SPM.
Dokumen yang dimuat naik ke laman sesawang itu juga diturunkan sebaik KPM menyedari kesilapan tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata siasatan dalaman insiden tersebut masih dijalankan.
Beliau memohon kerjasama semua pihak memberikan ruang sementara siasatan tersebut berjalan.