29 APR : PKR menyifatkan kenyataan Presiden PAS yang menyeru ibadah haji dan umrah ditangguhkan demi kemenangan politik Islam itu mengelirukan.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan mempertikai tindakan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan perjuangan Rasulullah SAW menentang golongan kafir Quraisy dengan pilihan raya di negara ini.
“Benarkah pemikiran yang sedemikian? Pertembungan dalam pilihanraya disamakan dengan perang Rasulullah SAW menentang kafir Quraisy?
“Atau Haji Hadi sekali lagi mengkafirkan calon UMNO yang bertanding?
“UMNO dan PH sendiri tidak pernah memusuhi Islam malah kedua-duanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“BN dan PH melafazkan sumpah yang sama sama dengan sumpah yang dilafazkan Haji Hadi. Sudah tentu ia lebih teruk dari merapu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, dalam ceramah sempena kempen Pilhan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abdul Hadi dilaporkan memberi isyarat agar masyarakat Islam di negara ini memberi keutamaan pada kemenangan politik berbanding ibadah haji atau umrah.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW yang dihalang melaksanakan umrah sehingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Mengulas lanjut, Amidi berkata hujah Abdul Hadi itu digunakan di luar konteks dan menimbulkan kekeliruan.
“Pada beliau jemaah haji Malaysia yang menjadi pengundi di PRK DUN Ayer Kuning wajar menangguhkan pemergian mereka ke tanah suci kerana undian dalam PRK lebih utama daripada melaksanakan ibadah haji,” katanya.
Amidin turut mengingatkan Abdul Hadi bulan Zulkaedah merupakan bulan haram berperang dalam budaya masyarakat di Jazirah Arab ketika itu.
“Atas pertimbangan tersebut, Rasulullah SAW memberikan mesej yang jelas kepada para pengintip Quraisy Mekah bahawa tujuan Baginda ke Mekah bukan hendak berperang tetapi menunaikan ibadah umrah atau ziarah Baitullah.
“Mengatakan bahawa Rasulullah SAW mendahulukan kemenangan politik berbanding melaksanakan umrah dan haji adalah dakwaan yang mengelirukan. Sebab itu Baginda berihram di Bir Ali. Orang yang berihram dilarang berperang. Apatah lagi dalam bulan haram.
“Itulah ketulusan niat dan tujuan nabi keluar dari Madinah, jelas dan ikhlas. Tanpa sebarang perkiraan politik,” katanya.
Jelas Amidin lagi, apabila terdapat halangan untuk meneruskan tujuan asalnya, maka Baginda tiada pilihan selain memetrai perjanjian kerana ja diteruskan niat asal, maka pertempuran akan berlaku.
“Baginda akan dituduh menggunakan agama (berihram) sedangkan tujuan sebenarnya adalah untuk berperang. Baginda akan mudah difitnah mengingkari tradisi larangan berperang dalam bulan haram yang menjejaskan nama baik dakwah Islam itu sendiri.
“Jelas jauh sungguh perbezaan perjuangan antara Haji Hadi dan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak mengizinkan sebarang ruang untuk perjuangan murni Islam difitnah dan diburukkan.
“Maka marilah kita menjadi pentaksub Allah dan pentaksub Rasulullah, jangan kita menjadi pentaksub Haji Hadi,” katanya.