13 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata elemen kemudahan berniaga wajar diterapkan bagi menyokong ekosistem perniagaan dalam sektor pertanian.
Anwar berkata dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan Satu Tahun 2024 yang dipengerusikannya hari ini, beliau turut menegaskan keperluan melaksanakan tindakan segera terhadap perkara mendesak terkait sektor berkenaan khususnya kelulusan pelaksanaan serta fasilitasi pelaburan dan perniagaan.
Beliau berkata, kerajaan komited dengan pembangunan ekosistem industri tanaman serta pengadaptasian teknologi dan meneroka potensi makanan masa depan seperti daging kultur, hasil daging kultur selain makanan berasaskan sel.
“Justeru, inisiatif ini perlu didahului dengan kajian yang menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan adalah terjamin.
“Inisiatif pemodenan pertanian seperti pembangunan kilang tanaman akan menyokong pertumbuhan industri teknologi pertanian bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang lestari sebagai alternatif kepada pengeluaran tanaman semasa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini juga memaklumkan prestasi dan produktiviti di sektor pertanian serta agromakanan memberikan kesan positif dengan mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh setahun kebelakangan.
Beliau berkata, mesyuarat yang bertujuan membincangkan usaha mempertingkat keterjaminan makanan serta memperkasa industri agromakanan negara itu turut bersetuju dengan pembangunan indikator keterjaminan makanan merangkumi maklumat berkaitan harga dan ketersediaan makanan di seluruh peringkat.
“Saya yakin segala ikhtiar yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan terus melonjak pembangunan sektor pertanian dan agromakanan supaya menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan terus memanfaatkan rakyat,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim