14 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan rapi terhadap semua kes yang mendapat perhatian umum.
Ini termasuk kes melibatkan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
“Sekarang riuh rendah kes penderaan pemain bola sepak, kes pembunuhan seorang kanak-kanak OKU (Orang Kelainan Upaya), kita prihatin, saya perdana menteri tetapi saya juga manusia saya juga nak tahu mengapa sampai jadi begini? Siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak?
“Kalau saya…saya nak polis jawab esok, tapi proses kena lalui. Kita tak peduli siapa tapi saya faham rakyat juga rasa resah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Putrajaya, hari ini.
Menurut Anwar, meski beliau perdana menteri namun beliau hanya boleh meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memastikan siasatan rapi terhadap kes-kes tersebut disegerakan.
Jelasnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain juga sudah dipanggil sebelum ini bagi memastikan siasatan rapi disegerakan tanpa sebarang campur tangan.
“Jangan (timbulkan) persepsi, hanya fikir mungkin orang ini salah, ikut tafsiran hukum, ini tak boleh.
“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang menghukum terus, kata kita melindungi, apa yang melindungi?” soalnya.
Kes melibatkan Zayn Rayyan terus mendapat perhatian selepas ibu bapa kanak-kanak autisme itu didakwa di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya atas tuduhan mengabaikan anak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.
Sebelumnya, insiden Faisal disimbah asid awal Mei lalu menjadi tumpuan yang menyebabkan beliau mendapat lecur tahap empat dan semalam pemain sayap kebangsaan itu membuat kemunculan pertama kali di khalayak awam.