14 JUN : Penutupan saluran berita televisyen Al Jazeera di Israel dibenarkan selama 35 hari lagi.
Perkara itu ditetapkan Kementerian Kehakiman Israel, hari ini.
Sebelum ini saluran yang berpangkalan di Qatar itu disekat daripada bersiaran di Israel selama 45 hari sejak awal bulan lalu.
Kemarahan kerajaan rejim zionis itu terhadap Al Jazeera semakin memuncak sejak perang yang tercetus Oktober lalu.
“Mahkamah daerah Tel Aviv mengesahkan arahan menteri komunikasi untuk menghentikan siaran saluran Al Jazeera, menutup bironya di Israel, menyekat akses ke laman webnya dan merampas peralatan,” kata Kementerian Kehakiman itu, lapor AFP.
Namun penutupan itu tidak menjejaskan siaran dari Tebing Barat yang diduduki Israel atau Semenanjung Gaza.
Saluran berita itu masih konsisten membuat liputan mengenai perang Israel dengan pejuang Hamas Palestin.
Menteri Komunikasi, Shlomo Karhi dalam satu kenyataan sebelum ini menggelar Al Jazeera sebagai ‘juru bicara untuk keganasan Hamas’.
“Atas sebab undang-undang, kami terpaksa menutupnya di Israel untuk 45 hari. Kami akan terus melakukan apa sahaja yang perlu untuk membersihkan wilayah itu daripada keganasan dan hasutan,” katanya.