15 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat satu pengumuman baik berkenaan barangan makanan esok, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, pengumuman itu, hasil kerjasama baik dan persefahaman antara pihak kerajaan dan sektor industri sebagai usaha membantu rakyat.
“Kita tunggu daripada Perdana Menteri esok. Intro nya berkaitan dengan serba sedikit barang makanan yang lazim kita makan seharian, jadi ada berita baik daripada perdana menteri.
“Tetapi ia menunjukkan bahawa bila kita ada kerjasama yang baik dari sektor industri, pihak kerajaan dan ada persefahaman bahawa niat kita adalah untuk rakyat, jadi kita berupaya untuk buat pengumuman seperti yang akan diumumkan perdana menteri esok,” katanya kepada pemberita pada Sabtu, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mydin Mart Pantai Dalam dan menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada penduduk di Parlimen Lembah Pantai, hari ini.
Ditanya sama ada pengumuman itu mengenai beras, Fahmi berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman istimewa daripada Perdana Menteri itu esok.
Sementara itu, Fahmi berkata, beliau menghargai pembukaan Mydin Mart di Lembah Pantai yang menawarkan produk dan barangan segar dengan harga berpatutan.
Beliau turut memuji tindakan pihak pengurusan pasar raya itu, kerana tidak menaikkan harga barang seperti yang dilakukan beberapa peniaga lain atas alasan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“(Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad) Datuk Dr Ameer Ali Mydin jelaskan tadi, tidak perlu ada kenaikan harga barang kerana subsidi diesel bagi sektor logistik masih diteruskan dan mereka masih menerima subsidi diesel RM2.15 sen satu liter.
“Jadi saya tegaskan langkah (penyasaran subsidi) kerajaan adalah untuk membantut aktiviti penyeludupan dan laporan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) menunjukkan berlaku perubahan dari segi pola jualan diesel yang cukup mendadak dan ini memberi keyakinan kita untuk meneruskan subsidi kepada kumpulan yang layak dan memerlukan adalah tepat,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai memanfaatkan aplikasi price checker yang dibangunkan KPDN, bagi membuat perbandingan harga dan mendapatkan barangan dengan harga lebih murah.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya juga telah memulakan usaha untuk memanfaatkan produk tempatan sebagai barangan pilihan, dalam memberi sumbangan kepada orang ramai.
Fahmi berkata, usaha itu dapat membantu produk tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dijamin berkualiti dan berpatutan, diperkenalkan kepada semua peringkat.