Projek salur air mentah Perak-P.Pinang diluluskan RM4 bilion
15 JUN : Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk meluluskan peruntukan pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, bagi menyediakan bekalan air terawat ke utara Perak dan Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM4 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu sebahagiannya akan dilaksanakan untuk menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.
“Kalau diurus bekalan air itu (di Perak) dengan baik, ia bukan sahaja mencukupi malah melebihi, melalui projek pengurusan air dan beberapa program tempatan ia akan dapat memenuhi keperluan di KIGIP, keperluan pengairan di Kerian dan terus ke Seberang Perai.
“Ia memerlukan dana RM4 bilion, dan kerajaan pada dasarnya bersetuju, walaupun bukan tahun ini tetapi kita akan jadikan ia sebagai keutamaan,” katanya Ketika berucap merasmikan Pelancaran Pelan Induk KIGIP di Bagan Serai, hari ini, lapor Bernama.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.