15 JUN : Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia melancarkan kempen besar-besaran membasmi perjudian dalam talian, dengan menyekat 2,945,150 laman sesawang kegiatan itu sepanjang tempoh Julai 2023 hingga kelmarin.
Kementerian itu juga menangani 16,596 kes kandungan perjudian yang dikesan menyusup ke platform pendidikan dan 18,974 lagi dalam laman sesawang kerajaan, selain mendesak penutupan 555 akaun e-dompet yang dikaitkan dengan aktiviti perjudian haram.
Menterinya, Budi Arie Setiadi dalam satu kenyataan pada Khamis lalu berkata tindakan tegas terbabit diambil sejajar peningkatan kebimbangan akan pengembangan perjudian dalam talian dan kesannya terhadap masyarakat.
Kementerian itu sekali gus mengeluarkan amaran keras kepada platform digital utama meliputi X, Telegram, Google, Meta dan TikTok, dengan menekankan potensi denda hingga 500 juta rupiah bagi setiap kandungan atas kes ketidakpatuhan, manakala Penyedia Perkhidmatan Internet yang gagal bekerjasama pula berisiko kehilangan lesen mereka.
“Kesan negatif perjudian dalam talian adalah amat mendalam, dengan mempengaruhi ekonomi dan struktur sosial kita, malah mengakibatkan tragedi peribadi,” kata Budi Arie, lapor Bernama.
Presiden Indonesia, Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi, baru-baru ini dilaporkan menggesa rakyat agar tidak terbabit sebarang kegiatan perjudian dalam talian mahupun luar talian.
“Jangan berjudi…Jangan berjudi…Jangan berjudi…sama ada di luar talian atau dalam talian.
“Lebih baik menyimpan atau melaburkan pendapatan anda ke dalam usaha perniagaan,” kata Jokowi sambil menyuarakan kebimbangan akan kesan buruk perjudian terhadap keluarga dan masyarakat.
Pada minggu lalu, media tempatan melaporkan insiden seorang anggota polis wanita didakwa membakar suaminya hingga mati selepas bertengkar mengenai pembabitan lelaki itu dalam kegiatan perjudian dalam talian.
Insiden tragik membabitkan pasangan mempunyai tiga anak itu dilaporkan berlaku di Mojokerto, Jawa Timur, dan lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.