21 JUN : Juruvideo Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Anas Mohammed Rezq Ashour yang bertugas di Gaza, Palestin meninggal dunia dalam serangan terkini rejim Zionis.
Memaklumkan berita sedih itu dalam satu klip video dimuat naik di media sosial, Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada menyifatkan Anas seorang yang menyayangi kerjayanya.
“Dia seperti seorang adik, dia rajin dan sangat menyayangi kerjayanya. ALLAH pilih dia.
“Demi ALLAH saya sangat sedih, hampir menangis dan menjerit, tetapi kita mesti sabar dan bersyukur dalam setiap keadaan, tidak berkata apa kecuali yang diredhai,” katanya.
Berita itu turut dikongsi akaun Facebook rasmi MyCARE, pagi tadi.
“Dengan berat hati, kami ingin mengumumkan kesyahidan videographer kami, Allahyarham Anas Mohammed Rezq Ashour.
“Beliau syahid pada malam tadi waktu Malaysia akibat bedilan rejim zionis laktnatullah ke atas Gaza.
“Kami warga kerja MyCARE menjadi saksi amal-amal Allahyarham yang sentiasa membuat yang terbaik dalam bidang kepakarannya.
“Semoga Allah menempatkan beliau bersama para syuhada di syurga tertinggi. Al-Fatihah,” tulis akaun itu.
Terdahulu, 58 kem perlindungan ‘friendship shelter’ sumbangan rakyat Malaysia di Gaza, Palestin dilaporkan musnah dibom rejim Israel.
Kem perlindungan itu dibina MyCARE dengan kerjasama Pasaraya Econsave di mana sebahagian daripadanya menempatkan 95 keluarga yang berlindung di situ selepas rumah mereka musnah dibedil.