20 OGOS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju memberi laluan kepada pembangkang untuk mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan untuk memuktamad pelantikan anggota PAC akan dilakukan sebelum sidang Dewan Rakyat minggu depan berakhir.
Beliau turut mengesahkan bahawa pembangkang telah mencalonkan nama calon Pengerusi PAC untuk disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilih yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat.
“Setahu saya, pembangkang hanya menyerah satu nama iaitu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh,”
“Kerajaan PN pula menamakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun sebagai Timbalan Pengerusi PAC,” katanya seperti dipetik dari Sin Chew Daily, hari ini.
Kah Woh sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi PAC.
Takiyuddin memberitahu Jawatankuasa Pemilih masih berbincang mengenai isu berkaitan anggota PAC dan belum membuat keputusan muktamad.
“Selepas keputusan jawatankuasa dimuktamadkan, maka barulah usul berkenaan anggota baharu PAC dapat dikemukakan di Parlimen.
“Kami tahu sudah lewat, tetapi kami pasti akan melantik anggota PAC yang baharu sebelum tamatnya mesyuarat,” katanya.