5 JUL : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah menerima senarai pendek nama calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Zahid berkata rundingan juga telah diadakan bersama Ketua UMNO Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Katanya, mengikut prosedur, nama-nama yang dicalonkan itu perlu dibawa ke mesyuarat bahagian terlebih dahulu.
“Walaupun senarai pendek itu telah sampai kepada saya, tradisi UMNO Gua Musang akan bawa nama-nama itu dalam mesyuarat bahagian dan akan diadakan pengundian dalaman dalam kalangan jawatankuasa bahagian.
“…(ia bagi) memilih calon mempunyai elemen WALI (iaitu) boleh menang (winnable’), diterima (acceptable) dan disukai (likeable),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Anugerah Pendidik Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Khamis, lapor Bernama.
Hari pengundian PRK Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing akan diadakan pada 3 dan 13 Ogos.
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi berkenaan kosong berkuat kuasa 19 Jun.