6 JUL : Sembilan pusat pengundian bagi 65 saluran mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dibuka serentak jam 8 pagi ini.
Pusat pengundian tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, SK Sungai Duri dan SK Sungai Kechil.
Seranai 39,279 pengundi layak mengundi dalam PRK kali ini termasuk 57 anggota polis.
Namun tiada pusat undi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lepas selepas SPR mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.
Kesemua pusat mengundi akan ditutup tepat jam 6 petang ini bagi membolehkan penjumlahan undi dibuat di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi.
Dalam PRK kali ini, seramai 552 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digerakkan, sementara 800 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman awam bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.