6 JUL : Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap melalui calon mereka, Abidin Ismail.
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) itu menyaksikan Abidin, 56 menang dengan majoriti 4,267 undi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu menang dengan 14,489 undi.
Sementara itu calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin meraih 10,222 undi.
Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.
Sebanyak sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran dibuka sejak jam 8 pagi tadi.