18 JUL : Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mampu memberi kesan fiskal yang lebih cepat berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata pelaksanaan semula GST hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian kelak.
Namun setakat ini, kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula GST.
“Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu seperti GST.
“Justeru, sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti melaksanakan semula GST akan diteliti untuk memastikan ia bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa yang sama dapat menjana hasil yang memapan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan semula GST.
Kamal turut membangkitkan soal usaha kerajaan mempertingkat hasil negara selain melalui pungutan cukai dan pelaksanaan subsidi bersasar.
Menurut, Hui Ying, kutipan cukai bagi tahun 2023 mencecah RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil kerajaan sebanyak RM315 bilion.
Jelasnya, pemberian subsidi, insentif dan bantuan kerajaan setakat ini melibatkan RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM406 bilion.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua komponen ini mempunyai hubung kait yang signifikan dengan kedudukan fiskal negara.
“Oleh yang demikian, adalah wajar perubahan dasar fiskal Malaysia memberi tumpuan kepada kedua-dua ini terlebih dahulu bagi mengambil peluang akan kedudukan fiskal negara yang stabil pada masa ini,” katanya.
Pada 10 Julai lalu, Kementerian Kewangan berkata selepas GST diperkenalkan pada April 2015, kutipan GST adalah sebanyak RM37.7 billion bagi tahun 2015; RM55.7 bilion (2016); RM60.5 bilion (2017); dan RM30.9 bilion (2018), iaitu sehingga Mei 2018 sahaja.
Selain itu, selepas SST dilaksanakan semula, kutipan SST adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi tahun 2018, iaitu dari September 2018 hingga Disember 2018; RM27.6 bilion (2019), RM25.2 bilion (2020); RM25.5 bilion (2021); RM31.3 bilion (2022); dan RM35.4 bilion (2023).