18 JUL : Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38 diumum sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan pekara itu pada sidang media, hari ini.
Menurut Ahmad Jazlan, pemilihan Mohd Azmawi diputuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat sokongan kepemimpinan UMNO Gua Musang serta akar umbi.
“Pemilihan ini dibuat oleh presiden parti selepas meneliti tiga nama yang dihantar oleh pimpinan UMNO Gua Musang sebelum pucuk pimpinan memilih Mohd Azmawi sebagai calon yang akan bertanding.
“Sudah tentu UMNO sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada calon muda yang bakal menjadi pewaris kepada parti.
“Kita juga yakin Mohd Azmawi mampu mengembalikan semula kerusi DUN Nenggiri bulan depan,” katanya dalam sidang media tersebut.
Menurut Ahmad Jazlan, kesemua jentera Kerajaan Perpaduan akan berkempen bagi memastikan kemenangan Mohd Azmawiyang juga Ketua Pemuda UMNO Gua Musang itu.
“Selain UMNO Kelantan, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri akan turut membantu sepanjang tempoh berkempen.
“Kita sedar PRK Nenggiri bukan perkara mudah namun kita berjanji akan berusaha sehabis baik untuk mencapai kejayaan.
“Kita juga merayu pengundi DUN Nenggiri, tidak kira di mana berada supaya memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO,” katanya.
Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.