20 JUL : Umat Islam tidak boleh membaca Qunut Nazilah kepada sesama Muslim ketika terdapat pertembungan tidak mengira apa jua sebabnya termasuk perselisihan politik, kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP).
Menjawab soalan dikemukakan di laman Facebook hari ini mengenai hukum membacakan doa Qunut Nazilah kepada umat Islam yang lain, Pejabat Mufti WP menyatakan tindakan sedemikian akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.
Menurut jawapan itu, berdasarkan pengamalan Rasulullah SAW dan sahabat serta pandangan para ulama, dapat dilihat dengan jelas bahawa doa Qunut Nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan murtad sahaja serta tidak ke atas umat Islam sesama sendiri.
“Doa Qunut Nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar. Hal ini sepertimana pernah dilakukan Rasulullah SAW yang membacakan doa Qunut Nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda.
“Selain itu, Saidina Abu Bakar al-Siddiq juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad seperti Musailamah al-Kazzab. Manakala Saidina Umar al-Khattab juga membaca doa ini apabila memerangi golongan Nasrani,” menurut Pejabat Mufti WP, lapor Bernama.
Di samping itu, Pejabat Mufti WP menyatakan Imam al-Nawawi menyebut sebab dibacakan doa Qunut Nazilah ialah umat ditimpa dengan musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit dan serangan serangga.
“Oleh yang demikian, apa yang dapat diperhatikan daripada nas dan pernyataan ulama, doa Qunut Nazilah ini dibacakan ke atas golongan kafir dan murtad yang diperangi oleh orang Islam serta pada musibah besar yang menimpa mereka.
Selain itu, ia dibaca dalam konteks peperangan jihad yang dituntut dan dibenarkan oleh syarak seperti situasi yang dihadapi Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.
“Tidak terdapat riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam sendiri,” menurut Pejabat Mufti WP.
Pada Khamis, Ahli Parlimen pembangkang dilaporkan membaca doa Qunut Nazilah selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Parlimen susulan usul Jabatan Perdana Menteri kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan. Surat layang itu berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.