Israel isytihar UNRWA sebagai pertubuhan pengganas
23 JUL : Parlimen Israel meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bacaan kali pertama bagi mengisytiharkan organisasi bantuan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk rakyat Palestin, Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB (UNRWA) sebagai pertubuhan pengganas.
Pentadbiran rejim zionis itu juga bercadang memutuskan hubungan dengan badan itu.
Menurut Knesset, RUU berkenaan akan diserah kepada jawatankuasa hal ehwal luar negeri dan pertahanan untuk rundingan lanjut.
Anggota Knesset, Yulia Malinovsky mendakwa UNRWA sebagai kumpulan yang bekerja untuk musuh.
Difahamkan hubungan tegang antara Israel dengan UNRWA sudah lama berlaku dan ia semakin ‘parah’ sejak perang di Gaza, tahun lalu.
Israel juga sudah beberapa kali meminta UNRWA dibubarkan dengan dakwaan ramai kakitangan UNRWA merupakan ahli kumpulan organisasi berkaitan Islam termasuk Hamas dan Jihad Islam.
Namun sehingga kini masih tiada sebarang bukti dikemukakan kepada badan kajian yang dilantik PBB.
UNRWA merupakan badan yang menawarkan bantuan pendidikan, kesihatan dan sumbangan lain kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.
Susulan tuduhan Israel itu, beberapa negara yang menyalurkan sumbangan kepada UNRWA sebelum ini bertindak berhenti mendanai badan itu hingga menyebabkan UNRWA berdepan masalah kewangan untuk meneruskan operasi.
Namun, baru-baru ini banyak negara menyambung semula pembiayaan mereka terhadap badan itu.
Foto: Facebook UNRWA