23 JUL : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pertemuan atau perbincangan rasmi antara parti itu dengan PAS, bagi membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga secara peribadi tidak bertemu dengan mana-mana pemimpin parti tersebut.
“Mereka tidak berjumpa dengan saya. Jika ada pun, mungkin itu pendekatan yang dibuat secara peribadi dan bukan secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Sukan di Seksyen 13 di Shah Alam pada Selasa, lapor Bernama.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata terdapat dakwaan mengenai beberapa siri pertemuan antara PAS bersama UMNO bagi membincangkan kerjasama berkenaan.
Beliau mendakwa pertemuan itu dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti tersebut.