Himpunan Solidariti Palestin di Bukit Jalil Ahad ini
1 OGOS : Satu himpunan bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin akan diadakan di Bukit Jalil, Ahad ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata himpunan dinamakan Himpunan Solidariti Palestin itu bagi memberi isyarat jelas pendirian rakyat Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Jelasnya, perkara itu diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri semalam yang bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pemimpin negara.
Beliau sempat memaklumkan kesemua ahli Parlimen dijemput menghadiri himpunan itu tanpa mengira parti.
“Kita insya-Allah akan jemput juga para senator dan juga ahli Dewan Rakyat semua tanpa mengira parti untuk hadir dalam himpunan solidariti ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Perhimpunan itu akan diadakan pada pukul 8 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Ini merupakan himpunan kedua yang diadakan selepas acara sama berlangsung 24 Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Anwar turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir ke himpunan tersebut.
“Bersama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada saudara-saudara kita di Palestin untuk terus berjuang demi kemerdekaan mereka.
“Rakyat Malaysia bersama Palestin! Allahu Akbar !” tulis Anwar melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan dibunuh di Tehran, Iran selepas Allahyarham menghadiri majlis pelantikan Presiden baharu Iran, Dr Masoud Pezeshkian.
Media antarabangsa melaporkan jenazah bekas Perdana Menteri Palestin itu dikebumikan di Doha, Qatar.
Kematian Haniyeh diumumkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) semalam yang memberitahu Allahyarham dan seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam serangan udara di tempat penginapan di ibu negara Iran pada jam 2 pagi (2230 GMT).